Tuesday, July 26, 2011

Pastikah itu jodohmu?

Salam sejahtera buat semua pembaca.
Semoga Allah merahmati hidup anda sekalian.InsyaAllah.

Setiap manusia mempunyai hati dan nurani untuk memiliki sesuatu yang mereka idam-idamkan.Ia merupakan fitrah yang telah Allah berikan kepada setiap insan yang bergelar manusia.Kita ingin mendapatkan sesuatu yang boleh menggembirakan hati kita dan menyenangkan hati kita.Kereta,rumah,wang,harta benda,pangkat dan sebagainya menjadi idaman sebahagian besar daripada kita.Namun,bagaimana jika apa yang kita ingini itu merupakan seorang manusia?Yang berbeza dari kita,berlainan jantina,memiliki emosi dan jiwa yang berbeza dari kita.Ya,itu juga salah satu fitrah semulajadi yang Allah hadiahkan kepada hambanya untuk memahami dan mendalami hati insan yang sudah dituliskan menjadi teman atau pasangannya dunia akhirat.Menjadi idaman setiap insan untuk memiliki sebuah bahtera kehidupan yang dilengkapi oleh suami atau isteri,bersama anak-anak mereka.Lalu berlayar mengikut arus kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Namun sebelum bahtera dilepaskan ke lautan,binaan kapal itu haruslah kukuh dan teguh agar tidak musnah dipukul ombak ujian yang bakal dihadapi di sepanjang perjalanan mengharungi lautan kehidupan itu.Pasti anda dapat mengagak apa yang harus diperkukuh dalam situasi ini bersandarkan kepada kehidupan kita.Ya,iman dan ilmu kita yang harus diperkukuhkan.Tanpa iman,pastilah sukar untuk mengharungi dugaan dan cabaran yang diberikan kepada kita.Jika tiada iman,bagaimana kita mampu sabar dan tabah jika diuji dengan bermacam dugaan.Tanpa ilmu pula,bagaimana pula kita ingin mengemudi bahtera yang besar itu di lautan yang bergelora.Sedangkan orang yang ingin menunggang basikal sahaja,harus belajar cara menunggangnya.Itulah ilmu.Kita perlu mengasah ilmu kita, bukan sahaja ilmu dalam alam perkahwinan,bahkan ilmu-ilmu lain seperti akhlak,sirah Nabi,fiqh,hadith dsb.

Pucuk pangkalnya ia bermula dari usaha kita sendiri.Untuk menjadi yang lebik baik.Menjadi lebih terjaga dari segi imannya,dari segi ilmunya,dari segi pergaulannya.Semuanya haruslah diacu dengan keindahan akhlak yang terpuji.Setiap manusia tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan atau kesalahan,tetapi mereka boleh cuba me'limit'kan perbuatan-perbuatan tersebut yang tidak manis dipandang orang apatah lagi dipandang Allah S.W.T.Di samping itu,mari kita cuba memperbanyakkan amalan-amalan lain yang boleh membantu kita sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak.Perbanyakkanlah membaca Al-Quran dan melakukan amalan-amalan sunat agar hati kita cenderung untuk melakukan kebaikan.Dalamilah maksud yang tersirat di dalam Al-Quran agar kita dapat mengambil pelajaran daripada peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku di zaman nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

Menjadi lumrah bagi seseorang untuk 'admire' pada orang yang dapat mencuri hatinya.Saya juga pernah merasai perasaan itu kerana saya juga tidak lari dari perasaan seperti itu.Berharap suatu hari orang itu akan menjadi teman hidup kita,yang akan berkongsi suka dan duka bersama,yang bakal menjaga kita di saat kita sakit,di dalam kesusahan mahupun di kala kita menjelang usia tua nanti.Selalunya perasaan ini terbit dalam hati seseorang di kala dia kesunyian dan dia inginkan seseorang untuk memahami hatinya dan mententeramkan jiwanya yang gersang.Pada pandangan saya,hal ini sering berlaku pada usia remaja,yang baru mengorak langkah di alam sekolah menengah, malahan ada juga yang sudah pandai bermain dengan hati dan perasaan ini di bangku sekolah rendah lagi.Bagi remaja,mereka memang inginkan perhatian.Lebih-lebih lagi daripada orang yang dia amat sayangi.

Bukan saya ingin mengecam mereka yang berbuat sedemikian.Tapi saya ingin mereka membuka mata agar lebih menumpukan kepada pelajaran dan cita-cita mereka.Ingatlah adik-adikku,orang yang kita kenal hari ini,orang yang kita cintai hari ini,belum tentu lagi akan menjadi teman sehati sejiwa kita seperti yang anda semua angan-angankan.Kita sendiri tidak mengetahui apa yang akan berlaku 5 tahun akan datang,10 tahun akan datang bahkan hari esok sekalipun.Kita tidak akan mengetahui selagi masanya belum tiba.Justeru,janganlah terlalu asyik dan leka dengan permainan duniawi ini.Jadilah,remaja dan anak yang disenangi ibu bapa anda dan tinggalkanlah pergaulan-pergaulan yang bakal mengundang kemarahan Allah.Anda tahu apa yang terbaik untuk anda,kita diberikan akal dan iman untuk menilai sesuatu yang baik ataupun sebaliknya.Percayalah,kita akan menemui ketenangan hidup sekiranya ianya bersandarkan kepada ajaran agama Islam,yang indah di mata,indah di jiwa dan indah untuk diteladani.

Fikir-fikirkan.Anda yang akan membuat keputusan.Anda yang akan menentukan untuk menjadi ahli Syurga yang diredhai Allah ataupun menjadi ahli Neraka yang dimurkai Allah.Masih belum terlambat untuk berubah dan kembali kepada 'turning point' yang sepatutnya.Semoga kita semua diberkati Allah dan dikurniakan hidayah daripadaNYA.INSYA'ALLAH:)